Dulu dan Kini SK Senibai

Lipatan Sejarah

Sekolah Kebangsaan Senibai telah dibuka pada 14 Februari 1956 atas perintah Pejabat Pelajaran. Perasmian sekolah pada ketika itu telah dihadiri oleh Wesak Routin, Tok Batin dan beberapa orang ibu bapa murid. Semasa pembukaan sekolah, seramai 27 orang murid telah mendaftar untuk bersekolah dan mereka terdiri dari anak - anak Masyarakat Asli yang tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah. Guru Besar pertama ialah Allahyarham Tuan Haji Nordin bin Ismail.

Bangunan sekolah pada ketika itu hanya sebuah dan dibina dengan menggunakan tiang kayu bulat, berdindingkan pelupuh, beratapkan daun bertam dan berlantaikan tanah. Pada tahun 1959, bangunan sekolah ini telah diperbaki dan dibina dengan menggunakan atap zink dan dan berlantaikan simen.

Pada tahun 1988, tiga bilik darjah tambahan telah dibina secara bergotong - royong. Bermula pada tahun 1997, Sekolah Kebangsaan Senibai telah diambil sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Tahap 2 iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 telah dibuka seterusnya secara lansung telah melibatkan pertambahan beberapa orang guru dan bilangan murid - murid juga turut bertambah. Kumpulan pertama murid - murid yang mengambil UPSR bagi sekolah ialah pada tahun 1999.


Setelah beberapa tahun Kementerian Pelajaran mengambil - alih pendidikan di sekolah ini, Sekolah Kebangsaan Senibai telah berubah wajah dengan beberapa pembinaan bangunan baru. Bermula pada tahun 1999, dua unit rumah guru telah dibina dengan kos bernilai RM 150 ribu. Seterusnya pada tahun yang sama, dua blok asrama iaitu Asrama Putera dan Asrama Puteri telah dibina dengan kos bernilai RM 1.3 juta.

Seterusnya pada tahun 2002, Sekolah Kebangsaan Senibai menerima peruntukkan untuk membina tiga blok bangunan sekolah yang serba lengkap dengan kos bernilai RM 3.5 juta. 

Bangunan baru telah mula digunakan pada tahun 2003 sehingga kini. Terdirinya bangunan - bangunan baru di sekolah ini secara langsung telah melenyapkan semua bangunan asal Sekolah Kebangsaan Senibai sebelumnya yang mungkin menjadi memori kehidupan murid - murid Masyarakat Asli untuk mendapatkan pendidikan awal di sekolah sebelum dan selepas merdeka di Tanah Melayu khususnya di Daerah Kuala Pilah.

Antara momen yang sempat dirakam dahulu:-

1- Bangunan sekolah lama yang menempatkan 3 bilik darjah


2. Bangunan bilik darjah lama yang menggunakan besi jeriji


3. Bangunan asrama perempuan dan dewan makan yang dibina oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli

4. Bangunan asrama lelaki


Murid SK Senibai

Sekolah Kebangsaan Senibai terdiri daripada murid - murid dari kalangan Masyarakat Asli berketurunan Asli Temuan dan Asli Semelai. Hanya beberapa orang sahaja murid Melayu yang bersekolah di sekolah ini. Murid - murid ini datangnya dari beberapa buah perkampungan Masyarakat Asli di antaranya :

a) Kampung Senibai
b) Kampung Air Lerek
c) Kampung Air Pulasan
d) Kampung Air Runtuh
e) Kampung Kelapi
f) Kampung Bari
g) Kampung Pabai, Miku
h) Kampung Air Rengas
i) Kampung Sungai Raya
j) Kampung Lubuk Temenggalan
k) Kampung Batu Peti
l) Kampung Klebang
m) Kampung Jeram Padang

Murid - murid ini datang ke sekolah dengan menaiki bas atau van sekolah yang disediakan secara percuma oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Bagi murid - murid yang jauh akan tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan Senibai.


SK Senibai Kini

Kini pada tahun 2015, perubahan dapat dilihat dari awal penubuhan SK Senibai hinggalah sekarang yang mana telah 59 tahun beroperasi. Antara pembaharuan yang telah dibuat dari masa ke semasa boleh dilihat dari gambaran di bawah:-

1. Bangunan Sekolah Kebangsaan Senibai dibina pada tahun 2002 dengan kos pembinaan RM3.5 juta. Tiga blok bangunan telah dibina terdiri dari bangunan pentadbiran iaitu blok A yang menempatkan pejabat, bilik gerakan, bilik SALC, makmal komputer, bilik akses, perpustakaan dan bilik tayang. Blok B menempatkan bilik kemahiran hidup, bilik muzik dan bilik darjah. Blok C pula menempatkan bilik - bilik darjah, bilik guru, bilik rawatan, makmal sains, surau dan kantin. Sekolah ini telah dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan Katagori Sekolah Asli 2008.



2. Laluan Pintu Masuk Utama dilengkapi papan tanda arah lokasi bilik - bilik yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Senibai.



3. Bangunan pentadbiran terletak di bahagian atas bukit kawasan sekolah. Di hadapan bangunan pentadbiran terhias indah taman buatan yang menjadi pandangan pertama pelawat apabila mula memasuki kawasan pintu pagar sekolah. Kepada pelawat yang ingin datang ke Sekolah Kebangsaan Senibai, warga sekolah mengalu - alukan kehadiran tuan - tuan dan puan - puan.



4. Laluan Utama masuk ke Sekolah Kebangsaan Senibai dihiasi dengan keindahan lanskap yang menarik. Berlatar belakang hutan semulajadi dan keindahan kampung Orang Asli yang berhampiran dengan kawasan sekolah secara lansung menjadi daya penarik sekolah ini. Sesungguhnya, bagi mereka yang kali pertama datang ke Sekolah Kebangsaan Senibai pasti teruja melihat akan keindahannya.


5. Astaka sekolah telah dibina pada tahun 2007 berhampiran dengan bangunan Asrama Puteri. Perhimpunan rasmi sekolah iaitu pada setiap pagi Isnin berlangsung di astaka ini. Astaka yang berbumbung Minangkabau ini sebagai pelengkap keindahan prasarana Sekolah Kebangsaan Senibai.


6. Asrama Putera dan Asrama Puteri dibina pada tahun 2001 dengan kos pembinaan berjumlah RM1.9 juta. Asrama Putera dan Puteri boleh menampung seramai 170 hingga 200 orang penghuni asrama. Bangunan ini juga menempatkan sebuah dewan makan, sebuah Dewan Seri Harmoni, pejabat asrama dan sebuah perpustakaan mini. Asrama SK Senibai telah dinobatkan sebagai Asrama Terbilang Peringkat Negeri kategori sekolah rendah pada tahun 2006 dan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan.



Comments

Popular posts from this blog

Jemputan Ke Rumah Terbuka Aidilfitri